Monday, June 27, 2011

Wanita Solehah Impian Seorang Suami


“Kring!!....” bunyi lonceng yang bergema di sekitar sekolah menandakan tamatnya waktu persekolahan. Ada yang bersorak, terlompat-lompat dan ada juga yang berlari keluar dari kelas tanpa mempedulikan kelas lain yang masih setia menunggu arahan balik daripada guru mereka. Hairi melihat jam di tangan, menunjukkan pukul 1.30 petang. Ustazah Aisyah memberi isyarat kepada Hairi supaya bangun mengarahkan rakan-rakannya membaca doa. “Bangun!!” Setelah habis semua membaca doa, mereka mengucapkan terima kasih kepada ustazah Aisyah dan masing-masing keluar dari kelas dengan sopan.

Ustazah Aisyah mengemas buku-buku yang berselerak di atas meja. Hairi menghampiri ustazah Aisyah dan memandang wajah gurunya sambil tersenyum. “Ustazah, boleh saya tolong?” Ustazah Aisyah tersenyum sambil lirik matanya menjeling ke wajah Hairi. “Boleh juga, terima kasih Hairi!”. Sambil menunjuk ke arah buku yang ada di depannya. Hairi mengambil buku-buku tersebut dan berjalan seiring dengan gurunya itu.

“Hairi kenapa tak balik lagi ni?.” Ustazah Aisyah bertanya kepada Hairi sambil membetulkan hujung tudungnya.
“Emm…Saya nak pergi library ustazah, nak pinjam buku!” Dalam hati, sebenarnya Hairi sengaja mahu menunggu ustazah Aisyah. Ini kerana perasaannya sungguh seronok jika dapat membantu dan mendengar kata-kata nasihat setiap kali berjumpa dengan guru kesayangannya itu. Entah kenapa, sejak pertama kali ustazah Aisyah memperkenalkan diri di majlis perhimpunan. Dia terpesona melihat penampilan dan raut wajahnya. Tutur katanya juga begitu tersusun walaupun masih kedengaran dialek Sabah.

“Asalamualaikum pelajar sekalian. Alhamdulillah ustazah amat bersyukur kerana hari ini merupakan hari pertama ustazah mengajar di sekolah ini……….” Terngiang-ngiang di lamunan Hairi ketika hari pertama ustazah Aisyah berucap dan memperkenalkan dirinya. Guru yang berasal dari negeri di bawah bayu itu baru berusia 23 tahun. Tidak hairanlah pelajar yang ada di perhimpunan itu mengambil perhatian dan begitu berminat ketika guru itu memperkenalkan dirinya. Wajahnya yang putih kemerah-merahan menceriakan lagi personaliti guru baru tersebut.

Hairi tersedar dari lamunan setelah dijerkah oleh rakan baiknya Safwan. “ Ha, apa yang dimenungkan tu, dari jauh lagi aku tengok kau tersenyum sendiri , kenapa dengan kau ni Hairi?”
Hairi mengangkat semula pennya yang jatuh dan kembali memberi tumpuan dengan buku latihan dihadapannya. “Astaghfirullah al azim! Tak ada apa-apalah, tengah fikirkan jawapan sebenarnya.”
“Ye lah tu, fikir jawapan soalan ke, ingatkan perempuan mana?”.
 Hairi mengerutkan keningnya. “Tak ada masa lah nak fikir siapa-siapa, lagi-lagi nak bercinta , bagi aku Wan belajar tu lagi penting!” Safwan hanya mengangguk dan tersenyum mendengar kata-kata Hairi.

Bukan niat Hairi nak menipu Safwan, tapi Hairi takut nanti heboh pula satu sekolah yang dia tengah syok ngan ustazah Aisyah. Hairi sedar semua itu tidak mungkin akan berlaku sebab Hairi tahu siapa dirinya dengan ustazah Aisyah, tidak lain hanyalah sebagai seorang pelajar.

Sememangnya Hairi adalah pelajar yang menjadi perhatian semua pelajar di Sekolah Menengah Taman Harmoni, Kajang. Dia merupakan anak kepada guru besar sekolah tersebut dan juga aktif dengan aktiviti-aktiviti di sekolah. Dia juga pernah menjuarai Tilawah al-Quran peringkat negeri Selangor dan juga merupakan pelajar cemerlang setiap kali tibanya peperiksaan. Hairi mempunyai prinsip sendiri, dia tidak akan bercinta selagi masih berada di alam persekolahan, dia beranggapan itu semua adalah satu keseronokan sementara sahaja. Kejayaan dalam peperiksaan yang diutamakannya.

“Bangun! Asalammualaikum ustazah.” Ustazah Aisyah menjawab dan mengarahkan semua menadah tangan untuk membaca doa. Setiap hari Hairi akan menjadi lebih bersemangat sekiranya tiba giliran Ustazah Aisyah mengajar kelas mereka dalam matapelajaran Pendidikan Islam. Ketika guru itu mengajar di kelasnya, ustazah Aisyah akan menyelitkan kisah-kisah teladan untuk menjadi renungan pelajar semua. Cara dia menyampaikan ilmu juga cukup menarik perhatian pelajar sehingga setiap kali selesai sahaja sesi pembelajaran, ada lagi pelajar yang akan berbincang dan menyoal tentang kemusykilan agama dengannya.

“Kita semua adalah sebaik-baik ciptaan, Allah telah memberi kenikmatan yang terlalu banyak kepada kita semua, bagaimana cara untuk kita membalas semua pemberian Allah itu? Semua dah tahu kan, caranya ialah dengan melakukan apa yang Allah perintahkan dan kita jauhkanlah apa sahaja yang Allah larang…” Itulah kata-kata nasihat seorang ustazah kepada anak didiknya. Semua murid mengangguk tanda setuju dan berazam melakukan apa yang telah disampaikan.

Sejak ustazah Aisyah mengajar di sekolah tersebut, ada sedikit perubahan yang telah dilakukannya dengan rutin pembelajaran setiap hari di kelas. Dia banyak memberi pandangan dan nasihat kepada pelajar supaya membawa kitab al-Quran dan membacanya jika ada waktu terluang. Itulah juga yang dilakukan Hairi dan rakan-rakannya semasa guru bermesyuarat atau sebelum sesi pembelajaran bermula. Dapatlah juga mereka menambah pahala daripada melakukan perkara-perkara yang tidak berfaedah.

Tanggal 20 Oktober 2009. Hairi dan rakan-rakannya selesai menghadapi peperiksaan SPM. Melangkah sahaja kakinya keluar dari dewan, di dalam hati dia berdoa moga mendapat keputusan yang cemerlang dan dapat melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi. Hari terakhir di sekolah tersebut, Hairi berjumpa dengan semua guru-guru untuk mengucapkan terima kasih. Tidak terkecuali dengan Ustazah Aisyah, salam perpisahan dihulurkan Hairi dengan harapan semoga mereka dapat berjumpa semula suatu hari nanti, jika dizinkan Allah s.w.t.

17 tahun berlalu, Hairi telah berjaya menjadi seorang doktor pakar bedah di Hospital Queen Elizebeth di Kota Kinabalu, Sabah. Dia baru sahaja ditukarkan ke Sabah beberapa bulan yang lalu. Ini kerana di sana masih kurang doktor pakar sepertinya. Walaupun perit meninggalkan tanah semenanjung, namun dia menyahut cabaran dengan niat boleh membantu masyarakat di sana.

Kini umurnya telah genap 34 tahun, namun Hairi belum pun mendapat pasangan hidup. Bukan tidak ada seorang perempuan pun yang menarik perhatiannya tapi disebabkan kesibukan yang berpanjangan menyebabkan dia tidak berkahwin sehingga saat itu. Ramai juga rakan perempuan yang dikenalinya sejak dibangku sekolah hinggalah ditempat kerjanya sekarang. Tetapi masing-masing masih tidak bercirikan seorang wanita muslimah yang dinginkannya. Hairi juga seperti lelaki lain yang inginkan sebuah perkahwinan yang bahagia berteraskan agama. Di dalam hati, dia tidak berhenti-henti berdoa dipertemukan seorang wanita seperti Siti Khadijah. Entah kenapa membaca kisah Nabi Muhammad s.a.w, mengimpikannya untuk memiliki seorang isteri seperti wanita mulia itu. Biarlah jodoh yang diberi Allah kepadanya itu seorang wanita yang bersifat taqwa, wadud dan walud.

Jam menunjukkan pukul 1.30 pagi. Hairi merenung bulan yang tidak mungkin jatuh ke ribanya. Hairi teringat kata-kata mengharap seorang ayah, suatu ketika dahulu. Waktu itu dia baru sahaja setahun berkerja sebagai seorang doktor.

"Hairi! Ayah tengok kau ni sibuk je memanjang, tak nak kahwin ke macam kawan kau tu Safwan. Dia dah ada 2 orang anak, kau ni bila lagi?"

"Emm tak jumpa lagilah ayah..Macam mana nak kahwin?" Hairi memandang wajah ayahnya.

Ayahnya tersenyum sambil mengamati wajah dan susuk tubuh Hairi, "Hairi ni ayah tengok kacak je, tinggi lampai pula tu, senyuman menawan, sebiji macam ayah zaman muda-mudi dululah. Takkan tak ada seorang pun yang terpikat".

"Terima kasih atas pujian ayah tu, nanti saya belanja nasi ayam ye.." Sambil mengenyit matanya.

"Sebenarnya ayah, Hairi teringin sangat nak cari seorang wanita solehah yang cukup ilmu agamanya. Kalau zaman Rasulullah dulu, macam Siti Khadijah buah hati Rasulullah s.a.w, tapi kalau zaman moden ni, ha biar macam Ustazah Aisyah."

"Ustazah Aisyah? Guru yang mengajar kat sekolah menengah Taman Harmoni dulu tu ke? Kalau nak cari isteri macam ustazah Aisyah tu, ayah 100% setuju. Tapi apa-apa pun ayah tetap doakan anak ayah ni, mudah-mudahan Hairi dapat apa yang Hairi idamkan." Luahan hati ayahnya.

Hairi tersenyum malu. Ustazah Aisyah sahaja yang berada difikiran Hairi saat dia mencari seorang yang punya ciri-ciri seorang wanita solehah yang diimpikan seorang lelaki. Namun sehingga saat itu dia tidak pernah pun berjumpa semula dengan ustazah Aisyah.

Hairi masuk ke bilik air dan terus mengambil wuduk. Hairi menunaikan solat sunat hajat dan istikharah. Meminta petunjuk pada yang Maha Esa. Selesai mengerjakannya, Hairi menadah tangan memohon ke hadrat Ilahi. “Ya Allah! Hambamu ini berdoa moga Kau pertemukanlah aku dengan seorang wanita solehah, yang boleh menjadi tulang belakangku di saat aku memerlukannya, walaupun ayahku telah tiada di dunia, aku masih ingin tunaikan hajatnya Ya Allah..Semoga kau perkenankan doa aku. Amin!” Hairi mengusap wajahnya dan memperbanyakkan istighfar. Dia melangkah ke katil dan berdoa sebelum melelapkan mata.

Jam lonceng berdering dan dia terjaga sambil menadah tangan, “Alhamdulillahillazi ahyana ba’dama amatana wailaihinnushur, Amin!” Selesai mengaminkan doa, tiba-tiba dia teringat mimpinya malam tadi. Sungguh aneh kerana ada seorang wanita muncul dalam mimpinya itu. Tetapi wajah wanita itu tidak jelas diingatannya. Namun dalam hatinya seperti pernah melihat wajah wanita tersebut.

Hujung minggu, Hairi bersama rakannya keluar berjalan-jalan di Shopping Kompleks One Borneo kerana ingin mencari sedikit ketenangan setelah penat seharian menjalankan tugas di Hospital.
“HPA?? Eh ni jual produk Islam kan Asnawi, jom masuk.”
Mereka melangkah masuk dan memerhati barang-barang yang ada di sana. Setelah memilih beberapa barang, Hairi menuju ke kaunter pembayaran untuk membuat pembayaran.
“Berapa ye kak?” sambil tunduk membuka dompetnya.
 “Semuanya RM45 ringgit.” Wanita itu bersuara.
 “Ni duitnya” Hairi mengangkat wajahnya dan terkejut wanita dihadapannya itu adalah guru kesayangannya di bangku sekolah dahulu. Tiba-tiba hatinya merasakan debaran.
“Ustazah Aisyahkan, saya Hairi ustazah, ingat lagi tak?”
Wanita itu mengerut dahinya sambil tersenyum “Alhamdulillah Allah pertemukan kita semula Hairi kat negeri kelahiran ustazah ni.”

Hairi sungguh teruja bertemu dengan Ustazah Aisyah, Hairi melihat gurunya itu tetap sama seperti dahulu walaupun usianya telah menjangkau 40 tahun. Di dalam perbualan mereka, ustazah Aisyah memberitahu Hairi bahawa dia kembali ke negeri asalnya kerana ingin memperkembangkan perniagaan menjual produl-produk Islam setelah berhenti sebagai seorang guru. Setelah suaminya meninggal dunia 3 tahun yang lepas, dia lebih banyak menghabiskan masa dengan menguruskan perniagaannya dan aktif dengan dakwah kepada saudara baru di sekitar kampung dan pedalaman di Sabah.

Sejak bertemu semula dengan ustazah Aisyah, dia selalu mencari peluang agar dapat berjumpa dengan wanita tersebut. Yang menjadi mangsa adalah rakannya Asnawi, ke mana dia pergi mesti diajaknya. Sejak dibangku sekolah lagi Hairi sudah tertarik dengan budi pekerti gurunya itu.

Hairi mencari peluang ingin berkongsi peniagaan bersama ustazah Aisyah. Ustazah Aisyah juga tidak berfikir panjang untuk menyetujui keinginan Hairi untuk menjalankan perniagaan bersamanya. Sejak itu, perniagaan mereka menampakkan keuntungan yang berlipat kali ganda dan dapat memperkembangkan lagi cawangan  di daerah lain di Sabah. Hairi masih meneruskan profesionnya sebagai doktor tetapi dalam masa yang sama, jika ada masa yang terluang dia akan membantu ustazah Aisyah.

Hari berganti hari, perasaan Hairi semakin kuat ingin memperisterikan ustazah Aisyah. Dia cukup yakin wanita yang pernah muncul di dalam mimpinya satu hari dulu adalah ustazah Aisyah. Dia cuba untuk meluahkan perasaannya. Namun dia takut sekiranya ustazah Aisyah sudah mempunyai calon suami sebagai penemannya . Hairi menunaikan solat sunat Istikharah sekali lagi, dia meminta petunjuk kepada yang Esa. Keesokkannya, setelah terjaga dari tidur, perasaannya semakin berdebar-debar teringat akan Ustazah Aisyah. “Insyaallah Ustazah Aisyahlah bakal menjadi suri di dalam rumahtanggaku.” Hairi tersenyum sendiri dengan kata-kata yang keluar dari mulutnya.

“Ustazah Aisyah, ada sesuatu yang ingin saya luahkan. Harap apa yang saya katakan ini mendapat jawaban yang benar dan dapat menenangkan hati saya”. Asnawi yang duduk di sebelah Hairi hanya mebatukan diri membaca surat khabar. Hairi pasti inilah masa yang sesuai untuk menyunting ustazah Aisyah menjadi isterinya. “Setiap kali saya menunaikan solat sunat istikharah, entah kenapa Allah memberi gambaran kepada saya akan seorang wanita yang pernah mendidik saya dengan ilmu agama suatu ketika dahulu. Sejak berjumpa semula dengan ustazah, saya cukup menyenangi tutur kata ustazah yang sentiasa menenangkan jiwa saya. Mungkin tiba masanya, saya ingin menyunting ustazah menjadi isteri saya, itu pun jika dipersetujui.” Hairi tunduk takut akan apa yang dilakukannya ini benar atau tidak. Walaupun malu tetapi dia tetap mengagahkan diri untuk mendapatkan suatu kepastian.

Kesunyian menerpa di antara mereka, ustazah Aisyah bersuara. “ Emm...Boleh tak Hairi bagi masa kepada saya untuk mencari jawapan atas soalan awak tadi. Nanti dah tiba masanya, saya akan memberikan jawapannya, jika Allah mengizinkan!"

Hairi setuju dan tidak memaksa ustazah Aisyah memberikan jawapan saat dan ketika itu juga. Biarlah masa yang menentukannya.

Hari berganti hari, bulan berganti bulan.. Kini ustazah Aisyah telah pun punya jawapan yang selama ini dinantikan oleh Hairi. Ustazah Aisyah menarik nafas panjang dan tangannya laju menaip email...

Assalamualaikum Wahai hamba Allah yang bernama Hairi.
Setelah memohon petunjuk Ilahi. Akhirnya saya temui satu jawapan atas peminangan awak tempoh hari.
Saya berharap jawapan saya nanti menenangkan hati dan perasaan awak. Saya juga berharap awak menerima jawapan ini seadanya.
Saya tahu usia saya semakin matang dan awak juga telah tahu saya sudah mempunyai anak.
Dulu saya tidak pernah terfikir Hairi akan memilih saya atas semua ini.
Tetapi selepas berdoa setiap hari memohon petunjuk Allah.
"Dengan Nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang, saya setuju dan bersedia menjadi isteri awak”.

“Alhamdulillah!!” Dihadapan komputer, dengan perasaan gembira Hairi memperbanyakkan kesyukuran kerana di permudahkan segalanya oleh Allah s.w.t.

Benarlah sejak berkahwin, kehidupan mereka semakin bahagia. Inilah yang diimpikan oleh Hairi mempunyai seorang isteri seperti Siti Khadijah. Dia memanjatkan kesyukuran kepada Allah dipertemukan dengan wanita yang soleha. Namun beberapa tahun berlalu, akhirnya isteri kesayangannya itu dijemput terlebih dahulu oleh Ilahi. Hairi tabah menghadapinya dan berdoa mengharapkan suatu hari nanti jika diizinkan Allah s.w.t, mereka bertemu semula dan kekal di syurga selama-lamanya.

Dengarkan Seni Lagu Ini


MusicPlaylistView Profile
Create a playlist at MixPod.com